PENIPUAN ATAS TALIAN (SCAM)-HOHO MEDIA (SARAWAK)
PENIPUAN ATAS TALIAN (SCAM)
Oleh: HoHo Media
Pada era globalisasi kini, perniagaan melalui atas talian telah menjadi satu fenomena kepada para peniaga kerana ianya begitu mudah dan cepat digunakan dalam menjual dan mempromosikan produk-produk mereka. Namun begitu, terdapat segelintir golongan yang tamak untuk memperoleh wang dengan cepat telah menyalahgunakan kemudahan ini lantaran menyebabkan para peniaga terutamanya belia yang ingin mencari pendapatan secara atas talian turut sukar untuk dipercayai lagi. Bak kata pepatah, “kerana nila setitik, rosak susu sebelanga”.
Istilah web yang sering digunakan dalam penipuan atas talian ini ialah ‘scam’. ‘Scam’ adalah berita elektronik dalam internet yang bersifat menipu sehingga pengirimnya akan mendapat manfaat dan keuntungan yang tertentu. Tamsilannya, scam yang sering dijumpai ialah surat berantai dan istilah ini lebih dikenali dalam bisnes-bisnes atas talian.
Menurut satu rencana di akhbar Utusan Malaysia suatu ketika dahulu, jenayah siber kini berlaku pada setiap 0.25 saat dengan setiap seorang daripada lima pengguna Internet berisiko menjadi mangsanya dan jenayah ini termasuklah penipuan dalam perniagaan atas talian (scam). Menurut satu akhbar yang bertarikh 19 November 2013, jumlah kes melibatkan penipuan yang dilaporkan meningkat sebanyak 98 kes daripada 361 kes dalam tempoh Januari sehingga Oktober tahun lalu kepada 459 kes dalam tempoh yang sama tahun ini. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Supritendan Azizan Md. Isa berkata, antara kes yang menyumbang kepada peningkatan itu adalah penipuan melalui laman web iaitu Mudah.my dan laman sosial Facebook. Menurutnya, kes penipuan melalui Mudah.my dan Facebook menunjukkan peningkatan daripada 88 kes tahun lalu kepada 151 kes tahun ini. Bagi kes penipuan dalam Mudah.my, sebanyak 71 kes berlaku bagi Januari sehingga Oktober tahun lalu meningkat kepada 85 kes untuk tempoh sama tahun ini manakala Facebook pula daripada hanya tujuh tahun lalu kepada 51 kes tahun ini. Analisis ini hanya dibuat di negeri Kuantan, Pahang sahaja dan sungguh memeranjatkan lagi jika analisis ini dibuat kepada seluruh Malaysia.
Modus operandi yang sering digunakan dalam penipuan ini ialah suspek atau sindiket menyamar sebagai kakitangan institusi kewangan atau pegawai polis yang menggunakan teknik ‘spoofing’ atau ahli sindiket ini mendekati mangsa dan meminta mangsa membuka sekeping kad cabutan bertuah, mangsa selepas itu diperdaya apabila ditawarkan hadiah lumayan seperti kenderaan tetapi dikenakan syarat iaitu mangsa perlu membeli barangan mereka.
Selain itu, kes penipuan atas talian banyak memberi kesan yang buruk kepada ekonomi peniaga di atas talian. Peniaga yang menjadi mangsa akan mengalami kerugian wang ringgit dalam jumlah yang besar. Ia juga akan memberi kesan terhadap emosi dan psikologi. Sesetengah mangsa juga akan mengalami gangguan seperti trauma dan paranoid sekaligus boleh menyebabkan kes bunuh diri dan sebagainya. Seterusnya, kecurian identiti serta maklumat-maklumat peribadi mangsa juga berlakudan mungkin akan digunakan untuk memperdayakan mangsa-mangsa yang lain dan sekaligus menyebabkan mereka terlibat dalam aktivti jenayah tanpa mereka sedari.
Sehubungan dengan itu, pembeli haruslah berhati-hati ketika berjual beli atau berurusan di atas talian. Para pengguna internet haruslah meningkatkan lagi pengetahuan dan perlu memahami cara si penyangak siber ini beroperasi. Sementelahan itu, para pengguna juga haruslah bersama-sama menyebarkan maklumat tentang penipuan atas talian ini dan berkongsi pengalaman jika pernah terjadi. Para pembeli juga hendaklah memeriksa dengan teliti terlebih dahulu sebelum meneruskan langkah yang lain dalam berurusan jual beli.
Kesimpulannya, peningkatan kes tipuan melalui atas talian semakin lama semakin menjadi barah dan darah daging dalam masyarakat kita dan hal ini bukan saja menular bebas dalam negara kita sahaja tapi iannya menjadi satu isu global yang hangat diperdebatkan pada masa kini kerana boleh merosakkan imej negara lebih-lebih lagi dari segi aspek ekonomi. Tuntasnya, masyarakat terutama beliat perlu mengambil langkah berjaga-jaga dalam berurusan mahupun berkenalan dengan seseorang melalui atas talian dan segera bertindak apabila sedar satu penipuan telah berlaku.