Gelandangan
Pada semester yang lepas, saya telah mengikuti projek gelandangan anjuran kelab inspirasi kolej kediaman bersama – sama dengan PERTIWI soup kitchen iaitu satu badan sukarelawan yang terdapat di Malaysia. Mereka menyediakan perkhidmatan makanan kepada golongan gelandangan dan fakir miskin yang mengalami kesusahan hidup di Bandaraya Kuala Lumpur.
Terdapat beberapa barangan yang telah kami kumpulkan untuk diagihkan kepada mereka di sana seperti pakaian, makanan dan sebagainya. Agihan dilakukan secara meluas di mana terdapat beberapa tempat yang telah ditetapkan sebagai tempat pengedaran bantuan tersebut.
Selama ini kami hanya melihat situasi seperti ini di kaca televisyen, di dada – dada akhbar dan majalah, tetapi kini kami melihatnya sendiri. Satu perasaan yang sukar untuk diungkapkan, kita sering mengeluh dan tidak bersyukur dengan apa yang kita miliki sedangkan mereka serba kekurangan, tiada tempat tinggal dan hanya tidur beralaskan kotak di kaki lima bangunan. Betapa mereka sangat tabah dan sabar dalam menjalani kehidupan di sana. Golongan gelandangan ini terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat daripada kanak – kanak yang kecil sehingga golongan yang berusia. Mereka bukanlah orang yang jahat dan sering dipandang serong oleh masyarakat sejagat, walhal mereka sangat berhemah dan menghormati antara satu sama lain. Mungkin faktor persekitaran yang menyebabkan orang lain takut untuk mendekati mereka.
Tuntasnya ekonomi semasa yang tidak menentu di samping kos sara hidup semakin meningkat terutama bagi mereka yang tinggal di bandar – bandar besar menyebabkan berlakunya peningkatan bilangan gelandangan di Malaysia. Wajah – wajah kegembiraan jelas terpancar di wajah mereka apabila kami tiba di sana. Ini menunjukkan bahawa mereka sangat menghargai dan meraikan kedatangan kami. Golongan seperti ini sepatutnya dibantu dan langah yang sewajarnya perlu dilakukan bagi mengurangkan bilangan gelandangan agar mereka dapat mengecapi hidup bahagia di negara sendiri.